Thursday, 4 April 2013
[PRU13] ZURIHAN YAKIN KUALA LANGAT KEMBALI KE PANGKUAN BN- #PRU13 #SAYANGISELANGOR
Antara kawasan tumpuan di Selangor adalah kerusi-kerusi dalam bahagian Kuala Langat yang menawarkan satu kerusi parlimen dan tiga kerusi dewan undangan negeri.
Tiga kerusi dewan undangan negeri adalah masing-masing N.53 Morib, N.52 Teluk Datok dan N.51 Sijangkang.
Pemimpin pakatan mendominasi tiga dari empat kerusi tersebut iaitu PKR (parlimen), Pas (N.51) dan Dap (N.52) manakala BN hanya mampu menang satu kerusi iaitu N.53 pada tahun 2008.
Namun, pengerusi Pemuda BN Kuala Langat saudara Zurihan Yusop meyakini bahawa tragedi 2008 tidak mungkin akan berulang kembali dalam pilihanraya umum ketiga belas ini.
Beliau bersandarkan kepada sentimen penduduk Kuala Langat yang mulai bosan dengan kepimpinan sedia ada seperti YB Dr Yunus Hairi (Sijangkang), YB Philip Tan (Teluk Datok) dan YB Abdullah Sani (Kuala Langat) sendiri.
"Sudah banyak program yang mereka (pakatan) jalankan di sini (Kuala Langat) tapi paling ramai pernah mereka tarik penduduk tempatan keluar adalah sewaktu Anwar hadir di Banting Baru dalam jelajah mereka tidak berapa lama dulu. Itu pun sekitar satu ribu orang sahaja dan rata-rata adalah ahli parti perikatan mereka sendiri"
"Saya kira sudah lebih dari dua kali timbalan presiden Pas (Mat Sabu) turun dan hadirin yang turun sekitar dua tiga ratus orang sahaja dan ini tidak sampai dua peratus pun bilangan pengundi di Kuala Langat", ujar Zurihan.
PKR cabang Kuala Langat adalah antara cabang paling bermasalah di Malaysia bilamana ahli parlimennya Abdullah Sani terlibat secara langsung dengan pergeseran dalaman terutama ketua cabang Kuala Langat, David Cheong.
Sumber memaklumkan bahawa Pas Kuala Langat mendesak agar calon seluruh kerusi termasuk parlimen dan N.53 Morib diberi kepada mereka kecuali kerusi N.52 Teluk Datok.
Ini secara tak langsung menidakkan kewujudan PKR Kuala Langat dan desas desus mengatakan bahawa bakal wujud ramai calon bebas dari serpihan PKR yang menawarkan diri untuk bertanding nanti.
"Kita yakin BN akan menang di Kuala Langat kerana sejarah membuktikan bahawa Kuala Langat sebenarnya adalah kubu kuat BN di Selangor dan sejarah itu akan kami ulang pada pilihanraya kali ini" kata Zurihan sewaktu ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa Pemuda Umno Kuala Langat di ibu pejabat parti itu malam tadi.
Zurihan juga merupakan timbalan pengerusi jentera BN Kuala Langat serta penolong setiausaha Pergerakan Pemuda Umno bagi perhubungan negeri Selangor.
0 comments:
Post a Comment