Wednesday, 20 June 2012

DEBAT SINAR SAIFUDDIN VS SALAHUDDIN


SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menolak keras demonstrasi jalanan adalah cara yang terbaik untuk mengukuhkan demokrasi kerana pendekatan sedemikian hanya boleh mengganggu ketenteraman awam dan hak rakyat.

“Demonstrasi jalanan jelas memberi impak negatif kepada orang ramai dan komuniti sekitar kawasan yang terlibat seterusnya menjadi punca kepada kekacauan berlaku apabila demonstrasi jalanan (diadakan),” kata beliau ketika berhujah pada Debat Sinar bertajuk “Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi" di sini, malam ini.

Beliau memberi contoh insiden yang terjadi ketika perhimpunan Bersih 3.0 April lalu, pelbagai jenis risiko seperti kecederaan boleh berlaku khususnya ke atas mereka yang menyertai demonstrasi jalanan sendiri. 

Justeru, beliau menyeru kepada orang ramai untuk mengukuhkan demokrasi di kalangan rakyat negara ini melalui pelbagai cara.

“Kita seharusnya menjadi lebih liberal dengan meggunakan medium media baru seperti Twitter, Facebook dan mengadakan perundingan untuk mencapai dan mengukuhkan demokrasi dalam negara kita,” katanya. 

Beliau turut bertegas agar rakyat perlu mengukuhkan demokrasi dengan cara menguasai ilmu pengetahuan dan beliau turut mengimpikan agar dapat memajukan anak bangsa Malaysia.

“Walau bagaimanapun demokrasi perlu dikukuhkan dengan cara yang lebih matang dan progresif agar negara kekal aman dan untuk mencapai misi ini, kita mesti mempunyai cara tersendiri,” kata beliau ketika membalas hujah Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Jelas beliau, demonstrasi jalanan tidak sepatutnya diadakan kerana rakyat sendiri perlu tahu menggunakan ruang dan medium lain bagi menyuarakan sebarang perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan yang memerintah.

“Jika ada sebarang perbezaan pendapat dalam politik, kita perlu menggunakan cara debat atau berbincang secara baik, jika ada sebarang kesilapan, kita boleh betulkan bersama-sama secara sopan, bukan menggunakan emosi,” tegas beliau.

“Kita menolak sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan ini kerana kerajaan sedia maklum dan bertanggungjawab kepada kebajikan rakyat. Kita tidak mahu gadaikan keselamatan orang awam dengan mengadakan sebarang demonstrasi jalanan,” kata Ahli Parlimen Temerloh ini.


Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, beliau sendiri tidak nampak sebarang bentuk penyelesaian masalah dengan mengadakan demonstrasi jalanan ini kerana ia jelas tidak dapat mengukuhkan demokrasi

Katanya lagi, pilihan raya yang diadakan di negara ini juga merupakan hak dan pilihan rakyat dan oleh itu, kemenangan rakyat menjadi isu pokok, bukan isu kemenangan kepada mana-mana parti politik yang bertanding.

Debat Sinar berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam itu dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.

Debat Sinar ini, yang kedua dianjurkan oleh Sinar Harian, bertajuk "Demonstrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi".

0 comments:

Post a Comment