Monday, 18 June 2012

REVOLUSI 13


Pilihanraya ke 13 (PRU 13) disifatkan oleh ramai penganalisa politik sebagai pilihanraya paling getir bakal tercatat dalam sejarah negara.

Sesetengah pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berpendapat, selain kaedah kotor dengan tuduh menuduh antara satu pihak dengan yang lain mengambil tempat, PRU 13 juga berkemungkinan menyaksikan siri-siri protes terutama apabila keputusan diumumkan kelak. Ia mungkin bertukar menjadi "medan pertempuran berdarah" jika tidak dikawal dengan baik oleh pihak berkuasa nanti.

Melihat sejarah PRU 12 bilamana pakatan PKR-PAS-DAP menguasai Selangor, mereka terlebih dahulu melakukan "physical assault" dengan mengepung dan menawan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) Negeri Selangor bagi menghalang berbagai dokumen dikeluarkan dari pejabat "exco-exco" termasuk menteri besar sendiri.

Alasan mereka dahulu amat mudah, jika tidak berbuat demikian, berbagai kegiatan salah laku pemimpin tertinggi kerajaan negeri akan tertutup kerana dokumen yang dibawa keluar bakal dihapuskan. Sebab itu mereka melakukannya dalam PRU 12 yang lalu. Kita rakyat Malaysia terutamanya penduduk negeri Selangor beruntung kerana sikap "gentleman" yang ditunjukkan oleh kepimpinan BN dahulu di bawah Dr Mohd Khir Toyo. Tiada sebarang insiden yang tidak diingini direkodkan.

Dalam politik, dendam kesumat adalah perkara yang tidak boleh dipandang enteng. Tidak mustahil, ini bakal berulang jika Selangor berjaya ditawan semula oleh Barisan Nasional (BN). Akankah penyokong BN melakukan perkara yang sama telah dilakukan oleh penyokong pakatan pada PRU 12 yang lalu?

Lebih teruk, mengenali sifat pakatan yang sebati dengan perlakuan "ganas" seperti melakukan provokasi keras di dalam Bersih 3.0, firasat saya kuat menyatakan bahawa mereka (pakatan) akan menentang habis-habisan andainya penyokong BN mengepung dan menawan bangunan tersebut bilamana Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) mengumumkan keputusan setiap kawasan dewan undangan negeri (DUN) memihak kepada BN.

Kita khuatir, bukan sahaja "percetusan berdarah" bakal berlaku di bangunan SUK, tetapi bermula seawal waktu di pusat-pusat membuang undi setelah tempoh pembuangan undi ditutup.


Selama ini kita telah pun menyaksikan "modus operandi" pakatan yang sentiasa mencela SPR dan badan berkuasa seperti Polis Di Raja Malaysia (PDRM) - tidak mustahil rakyat yang ter-fana dengan momokan-momokan buruk pakatan terhadap SPR dan PDRM, akan simpati dan seterusnya bangkit melawan bukan sahaja keputusan yang bakal diumumkan oleh SPR, bahkan bakal menyerang PDRM yang bertugas bagi memastikan keselamatan semua pihak terjaga.

Justeru, pendapat Tun M, Tun Daim dan segelintir penganalisa politik ada benarnya.

Tetapi, bagaimana pula jika yang bakal "melangkah masuk ke Putrajaya" adalah pakatan. Adakah pemimpin serta penyokong tegar BN akan melakukan sikap "gentleman" sebagaimana yang telah dipertontonkan oleh Dr Khir Toyo satu ketika dahulu di negeri Selangor?

Atau mungkin kah penyokong tegar BN sudah bersedia untuk "bertempur di jalanan" dengan mengatakan bahawa SPR sebagai "tidak adil" manakala PDRM pula adalah "kejam dan berat sebelah" ?

GreenHood (Kritis Online)

0 comments:

Post a Comment