Monday, 5 November 2012

LAPORAN KHAS: HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT SEREMBAN TAK LEBIH DARI HIMPUNAN HIJAU DI KUANTAN YANG GAGAL DULU



Kehadiran ribuan manusia dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat malam tadi di Taman Seremban Jaya, Negeri Sembilan merupakan petanda yang cukup baik kepada UMNO dan Barisan Nasional. 

Mungkin ada sesetengah pihak akan melihat kenyataan Wak ini seolah-olah meludah ke langit, kemudian terpalit ke muka air liur sendiri, namun hakikatnya kenyataan ini berlandaskan kepada keadaan politik semasa. Realitinya sokongan rakyat terhadap UMNO-Barisan Nasional semakin utuh hinggakan memaksa kepimpinan Pakatan Rakyat untuk mengerakkan himpunan demi himpunan bagi menghasut dan memburuk-burukkan imej kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO kerana kegusaran Pakatan Rakyat bakal tewas dalam Pilihanraya Umum nanti.

Namun demi menutupi kegusaran itu, maka dikeluarkan gambar-gambar yang menunjukkan seolah-olah keseluruhan rakyat Malaysia menyokong Pakatan Rakyat dengan tujuan mewujudkan provokasi terhadap kepimpinan UMNO, di samping cubaan memancing rakyat lain agar mempercayai bahawa lebih ramai rakyat bersama-sama mereka kini. Hakikatnya, pemimpin Pakatan Rakyat terpaksa mengerahkan jentera dari seluruh negara untuk meningkatkan kehadiran penyokong dalam acara tersebut. Dan strategi ini adalah strategi lapok yang sudah mampu dibaca kebanyakkan "pemain" politik dan rakyat yang cukup bijak.

Jumlah atau angka bukanlah kayu ukur yang cukup baik untuk menyukat sokongan rakyat memandangkan nisbah yang sanggup datang dalam sesebuah acara bergantung kepada banyak faktor. Malah jika angka anggaran kehadiran Himpunan Kebangkitan Rakyat malam tadi dijadikan ukuran sokongan rakyat, maka sudah pasti Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mempunyai sokongan lebih kuat memandangkan setiap acara yang dihadirinya mampu menghimpukan bilangan rakyat yang jauh lebih besar.


Sebagai seorang pemerhati politik, Wak merasakan strategi begini cukup tidak relevan kerana "hakikat" yang ingin ditonjolkan bukan boleh memberikan apa-apa kelebihan kepada Pakatan Rakyat, malah lebih terlihat sebagai agenda "syok sendiri". Sebaliknya tindakan dalam membela nasib rakyat yang konsisten pasti akan menaikkan sokongan rakyat terhadap mereka.

Namun ternyata bukan nasib rakyat yang diberikan fokus oleh kepimpinan Pakatan Rakyat, tetapi ternyata Pakatan itu hanya memberi tumpuan kepada usaha untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Tidak lebih dan tidak kurang. Maka segala isu yang dilihat mampu menjadikan PR sebagai juara rakyat akan dimainkan semata-mata demi mewujudkan persepsi seolah-olah pemimpin PR bersama-sama dengan rakyat. Seandainya PR ikhlas ingin membela rakyat, mengapakah peratusan rakyat termiskin di beberapa negeri yang ditadbir PR masih tidak mengalami perubahan ketara?



Kepimpinan PR ternyata hanya sibuk mencanangkan bahawa Laporan Ketua Audit Negara memuji kepimpinan mereka. Hakikatnya nasib rakyat tidak terbela. Di Selangor, jalan raya, perparitan dan sampah-sarap ternyata tidak diuruskan dengan baik. Di Pulau Pinang, tiada sebarang usaha untuk meningkatkan jumlah rumah kos rendah di negeri itu. Di Kedah, kewujudan beberapa pusat hiburan bertaraf disko semasa pentadbiran kerajaan PR ternyata menambahkan masalah sosial sedia ada, dan di Kelantan, kemunduran dan kekurangan peluang pekerajaan masih membelenggu rakyat. Jadi dimanakah hal yang lebih penting, keadilan untuk rakyat atau Laporan Ketua Audit Negara?

Kembali bercakap soal, kehadiran penyokong PR malam tadi di Seremban tidak memberikan apa-apa erti andai tidak boleh diterjemah ke atas kertas undi. Namun begitu, penyokong dan pemimpin UMNO-Barisan Nasional tidak perlu melatah dengan situasi ini, apatah lagi membiarkan keadaan ini tanpa sebarang tindakan.  Seharusnya penyokong dan pemimpin UMNO-Barisan Nasional perlu mengandakan lagi usaha untuk membela nasib rakyat.

Nasib rakyat mesti menjadi keutamaan pemimpin UMNO-Barisan Nasional berbanding memberikan fokus kepada survival politik peribadi dan melayan provokasi pemimpin Pakatan Rakyat. Soal menang atau kalah dalam PRU nanti kita sama-sama serahkan kepada Allah SWT dan kebijaksanaan pengundi untuk menilai. Moga ini adalah pilihan yang lebih baik berbanding sibuk ke sana ke sini, menghimpun rakyat kemudian memaki-hamun orang lain begitu-begini.

Laporan: inigoblogpolitik

0 comments:

Post a Comment