Friday, 7 December 2012

#JHEVBANTUVETERAN : VETERAN ATM MENERIMA BANTUAN DI BAWAH AKTA VETERAN 2011




Veteran ATM Menerima Bantuan dibawah Akta Veteran 2011 #JHEVbantuVeteran

Akta Veteran 2011 yang diluluskan di Parlimen tidak akan menyekat kebebasan persatuan veteran tentera untuk bersuara.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, persatuan veteran tentera tidak perlu bimbang kerana kebebasan dan suara mereka di dalam persatuan dijamin Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, tidak ada satu pun peruntukan di dalam akta ini yang akan menyekat dan mengongkong pergerakan ataupun suara persatuan berkenaan.
"Cuma apa yang digariskan persatuan perlu mendaftar semula persatuan mereka mengikut Fasal 17, akta ini.

"Persatuan veteran sedia ada akan kekal sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sama seperti dahulu," katanya pada sidang akhbar bagi mengulas kebimbangan sesetengah persatuan veteran tentera di sini, hari ini.

Akta itu diwujudkan bagi membela nasib pesara ATM yang pernah berkhidmat di jabatan berkenaan. Selain itu, semua kelab dan persatuan pesara tentera akan didaftarkan di bawah JHEV untuk menyelaras segala data mereka, Pesara tentera juga menerima manfaat menerusi penambahbaikan dalam hal kebajikan dan perubatan dalam usaha membela nasib mereka dengan lebih baik dan terurus.


Menurut Zulkiflee, di bawah akta itu bekas anggota ATM akan diberi bantuan serta menikmati kemudahan perubatan yang sediakan ATM. Selain itu, katanya, turut diberikan ialah bantuan kebajikan bagi kos sara hidup dan perbelanjaan persekolahan untuk anak-anak veteran ATM.

Justeru, Zulkiflee memberitahu JHEV ATM mewajibkan semua veteran ATM di seluruh negara untuk mendaftar diri di Jabatan Pertahanan. “Pangkalan data yang lengkap mengenai semua veteran ATM akan diwujudkan supaya kita tahu di mana mereka tinggal dan bagaimana keadaan hidup mereka. Ini kerana sama ada mereka hidup melarat atau sebaliknya, kita akan dapat memberi bantuan dengan lebih berkesan.

Sebelum ini, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) berjanji akan mendapatkan sokongan 250,000 ahlinya untuk mendesak kerajaan mengkaji semula Akta Veteran 2011.

Presidennya, Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, pada mesyuarat agung ke-86 bulan depan, seramai 167 perwakilan akan menentukan pendirian persatuan itu sama ada menolak atau menerima Fasal 17 yang menghendaki persatuan itu didaftarkan semula.

Zulkiflee berkata, kerajaan tidak mempunyai niat lain dalam menggubal akta berkenaan kecuali untuk membela nasib dan menghargai perjuangan serta pengorbanan veteran tentera.

Katanya, dengan adanya akta itu semua keistimewaan, kemudahan dan kepentingan veteran tentera akan lebih terpelihara di bawah peruntukan undang-undang. Menurutnya, akta berkenaan juga tidak akan memberi kesan kepada penubuhan dan harta persatuan.

"Persatuan tidak akan terkubur, cuma penubuhan mereka akan terhenti dan perlu didaftar semula.

"Berkenaan dengan harta persatuan pula, itu hak mereka dan ia tidak akan terjejas tetapi jika persatuan mahu mengisytiharkan harta mereka apabila mendaftar semula, mereka boleh berbuat demikian," jelasnya.

Laporan: minda-hijrah

0 comments:

Post a Comment