Rentetan demonstrasi BERSIHKAN MAJLIS PEGUAM yang diadakan oleh hampir 1,000 orang di luar Kompleks Kehakiman Jalan Duta pagi tadi adalah simbol sokongan rakyat terhadap seorang peguam, Khairul Azam Abdul Aziz yang menfailkan saman terhadap majlis peguam tersebut tahun lalu.
Khairul Azam sebelum ini menfailkan saman terhadap majlis tersebut ekoran proses mesyuarat agung tergempar yang dikatakan tidak mengikut perlembagaan tubuh dan undang-undang majlis itu.
Perkara ini bukan suatu yang baru apabila majlis tersebut dikatakan sewenang-wenangnya memanipulasi perjalanan proses demokrasi termasuk pemilihan ahli majlisnya setiap tahun dan perkara ini turut diakui oleh seorang ahli majlis peguam yang lain iaitu Abu Backer Sidek.
Antara lain yang menjadi misteri perjalanan sistem demokrasi pemilihan anggota majlis peguam ini adalah sistem undi posnya.
Walaupun dibelenggu kemelut penyalahgunaan kuasa sewaktu proses pemilihan anggota majlisnya, beberapa individu yang memegang teraju majlis tersebut berterus-terusan menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dituduh mereka menipu bagi memastikan kemenangan ke atas BN.
Menjadi kehairanan masyarakat umum adalah apabila desakan dibuat agar majlis tersebut dipantau oleh pemerhati bebas bagi memastikan ketelusan perjalanan pemilihan anggota majlisnya, ianya telah ditolak mentah-mentah.
Berbalik kepada kes hari ini, TMS melalui telefon dimaklumkan oleh Khairul Azam bahawa ada perkembangan baru oleh pihak defendan iaitu majlis peguam.
Tan Sri Aziz Abd Rahman dan Sharifuddin Ali yang mewakili majlis peguam telah membuat satu tawaran penyelesaian dan tarikh baru telah diberikan oleh mahkamah bagi memberi ruang kepada pihak plaintif mempertimbangkannya.
Kes yang sepatutnya ditetapkan bagi pendengaran hari ini ditunda ke satu tarikh yang baru.