Friday 19 October 2012

#AUDITSELANGOR : KISAH BAGAIMANA "MAHASISWA UNISEL DICEKIK DAN DIHISAP 198.1% DARAHNYA" OLEH @KHALID_IBRAHIM




 

KUALA LUMPUR – Laporan Ketua Audit Negara 2011 mendapati Pendidikan Industri YS Sdn. Bhd. (PIYSB) yang mengendalikan Universiti Selangor (Unisel) mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM37.63 juta pada 2010.

Syarikat milik kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu dilaporkan mengalami peningkatan kerugian sebelum cukai sebanyak 198.1 peratus berbanding RM12.62 juta pada 2009.

Menurut laporan itu, pendapatan PIYSB pada tahun 2008, 2009 dan 2010 masing-masing berjumlah RM91.41 juta, RM89.35 juta dan RM71.82 juta.

“Penurunan itu disebabkan bilangan kemasukan pelajar berkurangan.

“Perbelanjaan PIYSB sepanjang tempoh sama pula meningkat daripada RM83.53 juta pada 2008 kepada RM95.78 juta pada 2009 dan RM102.87 juta pada 2010,” jelas laporan itu.

Laporan berkenaan turut menyatakan liabiliti syarikat tersebut pada 2010 iaitu sebanyak RM439.17 juta meningkat berbanding RM381.58 juta pada 2009.

Antara pemiutang utama adalah pemaju, kontraktor dan penyenggara (RM263.6 juta); ‘Bai Bithamin Ajil Debt Securities’ – Affin Bank Berhad (RM150 juta) dan kerajaan PKR Selangor (RM73.31 juta).

“Jumlah liabiliti semasa sebanyak RM124.87 juta berbanding pendapatan sebanyak RM75.48 juta pada 2010 menunjukkan PIYSB tidak mampu menjelaskan liabiliti semasa itu,” demikian menurut laporan berkenaan.

Secara keseluruhan, laporan itu mendapati prestasi kewangan PIYSB tidak memuaskan dan Lembaga Pengarah PIYSB perlu sentiasa memantau prestasi serta berusaha mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat itu.

Lembaga Pengarah PIYSB diketuai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Pengerusi dan turut dianggotai sembilan ahli lain.

Laporan Ketua Audit Negara 2011 turut menemui tujuh kelemahan pada pengurusan aktiviti dan tadbir urus korporat PIYSB.

Kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti adalah pengambilan pelajar tidak mencapai sasaran, tunggakan yuran meningkat dan sebahagian kemudahan Unisel tidak disenggarakan dengan sempurna.

Kelemahan lain termasuk Audit Dalaman tidak berfungsi, Jawatankuasa Audit dan Pemeriksaan tidak ditubuhkan, Mesyuarat Agung Tahunan tidak dijalankan dan tatacara operasi standard tidak diluluskan Lembaga Pengarah.


laporan: shahalamrebels

0 comments:

Post a Comment