Paluan pilihanraya umum ketiga belas (PRU13) sudah lama berbunyi. Sedar atau tidak ia bergendang perlahan seawal 11.11.11 bila tarikh tersebut disebut-sebut bakal menjadi tarikh keramat PRU13.
Walaupun berlalu begitu sahaja, namun kerancakkan umum membincangkan soal PRU13 tidak pernah terhenti.
Sehinggalah tarikh tersebut bertukar menjadi 12.12.12 dan 13.3.13.
Seperti pasangan muda yang teruja memilih tarikh pertunangan atau perkahwinan mereka, begitulah para politikus kelas bawah dan pertengahan berbincang di kedai kopi mahu pun surau atau di mana-mana akan tarikh PRU13 yang seakan tidak kunjung tiba.
Beberapa siri serangan diadakan terutama dari kepimpinan parti pembangkang yang mencabar atau mempertahankan hak masing-masing dalam memilih tarikh pembubaran dewan undangan negeri yang mereka kuasai.
Tan Sri Khalid Ibrahim, menteri besar Selangor dicatatkan tidak akan mengikut tarikh pembubaran dewan parlimen jika ia diumumkan sebelum tahun 2013. Begitu juga ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Sebaliknya, menteri besar Kedah bersependapat dengan menteri besar Kelantan untuk mengikut tarikh pilihan kerajaan persekutuan dalam pembubaran dan pilihan tarikh PRU13.
Kemuncak teka-teki pembubaran dewan parlimen berlaku lewat pagi tadi apabila semua medium komunikasi moden seperti teks pesanan ringkas (sms), whatsapp sistem pesanan blackberry (bbm), email dan lain-lain memaklumkan kenyataan rasmi yang akan diumumkan jam 12.35 tengahari ini perkenan DYMM Yang di-Dipertuan Agung Sultan Abdul Halim ibni Almarhum Sultan Badlishah bagi YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengumumkan pembubaran dewan parlimen.
'Hoax' ini bagaimana pun dinafikan sendiri melalui sistem twitter rasmi 'Prime Minister Office' atau PMO selain RTM1 dan TV3 yang diselitkan dalam segmen berita tengahari kedua-dua stesyen televisyen tersebut.
Walaupun belum diumum pembubaran, namun sebagaimana dinyatakan awalan penulisan ini bahawa, bahang angin pilihanraya sebenarnya sedang hangat dirasakan dengan kerancakkan jentera-jentera parti sama ada Barisan Nasional (BN) mahu pun pakatan mengemaskinikan pusat daerah mengundi (PDM), DUN mahu pun parlimen masing-masing.
Justeru, tips kepada tarikh sebenar pembubaran akan dilakukan terletak ditangan jentera parti itu sendiri terutama jentera BN yang punyai kelebihan sebagai parti yang memerintah dan mengumumkan pembubaran.
Jika jentera BN sendiri merasakan mereka sudah bersedia, tidak mustahil pembubaran telah pun diumum pada tengahari tadi lagi.
Ini bermakna masih ada masa jentera-jentera kedua belah pihak mengemaskinikan persediaan mereka hinggalah benar-benar bersedia menghadapi PRU13 dan andai diumum pembubaran, tiada elemen mengejutkan yang berlaku melainkan tempoh berkempen dan membuang undi.
Semboyan PRU13 sebenarnya sudah lama berbunyi dengan kesungguhan presiden dan timbalan presiden UMNO merangkap pengerusi dan timbalan pengerusi BN berkempen dari utara hingga selatan, timur dan barat tanahair Malaysia.
0 comments:
Post a Comment