Selangor bakal mendepani krisis kekurangan kediaman mampu milik sekiranya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor masih meneruskan polisi membina kediaman mewah dengan label "Kediaman Mampu Milik" untu rakyat negeri itu.
Mungkin sebahagian rakyat tidak memahami konsep "Kediaman Mampu Milik". Menurut rujukan Wak kepada beberapa pihak termasuk Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB), kediaman mampu milik ditakrifkan sebagai kediaman yang ditawarkan kepada rakyat dengan harga serendah RM35,000 berkonsepkan mesra keluarga, selesa, mempunyai sekurang-kurangnya tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Dan kediaman mampu milik pula boleh dipecahkan kepada tiga kategori:
Sila klik untuk paparan lebih jelas
Namun situasi di Selangor kini cukup berbeza apabila hanya kediaman pada harga dari RM100,000 sahaja yang dibina. Malah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang sebelum ini diketahui banyak membina kediaman pada kos yang rendah tidak lagi dilihat mempunyai sebarang minat untuk membina kediaman mampu milik sebegini.
Ternyata semenjak kerajaan Selangor diambil alih oleh Pakatan Rakyat, penubuhan PKNS dilihat bukan lagi untuk membela nasib rakyat dan memperkasakan ekonomi, sebaliknya hanya digunakan sebagai alat politik untuk mengkayakan kroni pemimpin Pakatan Rakyat disamping membina kediaman mewah untuk dibeli golongan aristokrat semata-mata. Nasib rakyat miskin dan serba kekurangan tidak mendapat pembelaan sewajarnya semenjak Pakatan memerintah.
Berbalik semula kepada isu kediaman mampu milik. Menurut kerajaan Selangor dalam sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), Mac lalu, sebanyak 287 unit kediaman mampu milik telah siap untuk diduduki. Namun pembinaan kediaman mampu milik tersebut hanya melibatkan dua kawasan Dun; Gombak (180 unit kediaman) dan Hulu Selangor (107 unit kediaman).
Bilangan unit kediaman mampu milik yang telah disiapkan menurut kerajaan Selangor
Namun dalam kenyataan akhbar yang disiarkan Sinar Harian, kerajaan Selangor telah menyatakan jumlah angka yang cukup berbeza untuk kediaman mampu milik yang siap untuk diduduki dengan jawapan yang diberikan semasa sidang Dun Mac tahun ini.
Peningkatan hampir 23 kali ganda jumlah dari 287 unit kediaman kepada 6,470 unit dalam masa hanya tujuh bulan menimbulkan persoalan yang cukup besar. Bagaimana dalam masa cuma tujuh bulan kerajaan Selangor mampu menyiapkan lagi 6,183 unit kediaman? Atau adakah ini sandiwara kerajaan Pakatan Rakyat setelah teruk dihentam dalam isu pembinaan kediaman mampu milik untuk rakyat?
Seandainya kediaman-kediaman tersebut telah siap dibina dan sedia untuk diduduki, kerajaan Selangor harus menunjukkan bukti lokasi dan membuka jualan kepada rakyat Selangor. Tetapi sehingga ke hari ini, tiada sebarang hebahan dilakukan berkaitan kediaman-kediaman tersebut. Maka, wajarlah seandainya rakyat menganggap kerajaan PR Selangor cuba menipu rakyat dengan menggunakan angka-angka unit kediaman yang tidak wujud?
Berbalik pula persoalan mengenai unit kediaman yang sedang dibina, maka kita akan menemui beberapa kesangsian terutama melibatkan perbezaan angka yang ketara antara jawapan yang diberikan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor semasa sidang Dun, Mac lalu dan yang dikeluarkan akhbar Sinar Harian, Oktober lalu.
Bilangan unit kediaman mampu milik yang sedang dibina menurut kerajaan Selangor
Angka yang ditunjukkan dalam kotak di atas cukup untuk membuktikan bahawa kerajaan Selangor cuba untuk menipu rakyat mengenai isu kediaman mampu milik. Angka-angka yang berbeza dan ketara bertambahan menunjukkan kerajaan Selangor sedaya upaya menutupi kebobrokkan Pakatan Rakyat yang cuma membina kediaman mampu milik dalam jumlah yang cukup kecil jika dibandingkan dengan peningkatan penduduk di Selangor.
Malah seandainya dibandingkan antara kedua-dua data yang dikeluarkan kerajaan Selangor pada Mac dan Oktober lalu, wujud lagi kesangsian tentang pertambahan kediaman mampu milik sedang dibina dengan mendadak.
Malah menurut jawapan dalam sidang Dun, sebanyak 132 unit kediaman sedang dibina di Kalng, tetapi dalam laporan akhbar Sinar Harian pada Oktober pula menunjukkan tiada sebarang pembinaan kediaman mampu milik di Klang. Adakah kerajaan Pakatan sekali lagi cuba menipu rakyat Selangor dengan menggunakan angka-angka?
Kediaman merupakan keperluan asas setiap rakyat. Seandainya kerajaan Selangor terus bersandiwara tentang kediaman mampu milik, rakyat yang bakal menerima akibatnya, bukan Khalid Ibrahim apatah lagi Anwar Ibrahim kerana pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah memiliki kediaman agam yang indah dan mewah.
Banglo Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Selangor di Segambut
Banglo Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor di Damansara
Jika sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat Selangor sibuk menghentam pemimpin UMNO-Barisan Nasional kerana didakwa memiliki kediaman agam, tetapi apa kurangnya pemimpin PR di Selangor.
Malah Wak rasa pemimpin PR di Selangor lebih teruk kerana bukan setakat memiliki kediaman agam yang bernilai jutaan ringgit, sebaliknya kerajaan PR Selangor hanya membina kediaman-kediaman mewah untuk dimiliki golongan aristokrat dan berkemampuan sahaja. Kediaman rakyat miskin dan kurang berkemampuan pula agak-agaknya bila dan dimana akan dibina?
Dan kini kerajaan Selangor cuba pula menutupi mulut-mulut rakyat yang mula mempersoalkan mengenai pembelaan nasib mereka. Rakyat tidak minta Menteri Besar untuk melawat mereka setiap hari, rakyat cuma mahu kerajaan Selangor memberi perhatian terhadap keperluan perumahan mereka. Kalau kerajaan negeri tidak merancang dan membina kediaman mampu milik, siapakah pihak yang boleh diharapkan untuk membina kediaman mampu milik? Syarikat swasta?
Jika kerajaan UMNO dan BN sebelum ini sibuk mahu menghapuskan kawasan setinggan di seluruh Selangor, melalui kempen Sifar Setinggan. Dan kemudian menyediakan pula kediaman mampu milik kepada golongan yang tinggal dipindahkan dari kawasan setinggan, kerajaan PR pula sebaliknya. Kalau tiada kediaman mampu dimiliki lagi oleh golongan yang kurang berkemampuan, pasti kawasan setinggan akan menjadi pilihan baru untuk rakyat memiliki kediaman pada kos yang rendah.
Dan melihat pula angka pembinaan kediaman mampu milik yang baru diluluskan kerajaan PR Selangor, berdasarkan jawapan sidang Dun, cuma 4,498 unit kediaman mampu milik sahaja yang dilulus dan dirancang untuk dibina sehingga tahun 2018.
Tetapi sekali lagi, angka ini pasti berbeza dengan kenyataan akhbar kerajaan Selangor yang menyebut sejumlah 9,990 unit kediaman mampu milik telah dilulus dan akan dibina. Pertambahan angka hampir dua kali ganda daripada angka yang disebut dalam jawapan sidang Dun. Dan sekali lagi, rakyat Selangor dipermainkan.
Bilangan unit kediaman mampu milik yang telah dilulus dan dirancang untuk dibina menurut kerajaan Selangor
Sampai bilakah kerajaan Pakatan di Selangor akan terus memain-mainkan rakyat dengan angka-angka? Rakyat memerlukan rumah untuk dijadikan tempat berteduh dan membina kehidupan. Dan definisi kediaman mampu milik harus segera ditafsir semula kerajaan Selangor. Masakan kediaman yang dijual pada harga RM200,000 juga dikelaskan kediaman mampu milik?
Walaupun Wak bukan lulusan ekonomi, ataupun perancangan bandar, Wak tahu data yang dikeluarkan kerajaan negeri mempunyai perbezaan ketara yang menimbulkan persoalan. Atau adakah ini sekali lagi sandiwara kerajaan Selangor untuk menipu rakyat Selangor?
Laporan: inigoblogpolitik