Tahniah diucapkan kepada Dato' Sri Ir Mohd Zin Mohamed atas keyakinan yang diberikan oleh YAB Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak bagi mengemudi jentera Barisan Nasional (BN) negeri Selangor selaku timbalan pengarah.
Bagaimanapun jawatan pengarah jentera BN tetap dipegang oleh Najib sendiri bersesuaian dengan statusnya selaku pengerusi perhubungan Umno negeri Selangor.
Teka-teki siapa yang berkuasa di Selangor terjawab apabila terlalu banyak desas-desus timbul rentetan pertindihan arahan antara setiausaha perhubungan iaitu jawatan yang dipegang oleh Mohd Zin sebelum ini dan Dato Seri Noh Omar selaku timbalan pengerusi Umno perhubungan negeri.
Namun, dengan perlantikan yang diumumkan oleh Najib sendiri sewaktu mempengerusikan mesyuarat BN negeri Selangor di Shah Alam Sabtu lalu, ia sekaligus mematikan 'cakap-cakap warung kopi' yang membantutkan banyak perkara dan dilihat hanya membuang masa jentera parti sewaktu pilihanraya umum ke 13 hanya tinggal beberapa minggu atau bulan sahaja lagi.
Tahniah diucapkan kepada Mohd Zin.
Noh Omar walau bagaimana pun kekal selaku timbalan pengerusi Umno perhubungan negeri dan jawatan yang disandangnya amat penting selepas selesai pilihanraya umum kerana ada satu lagi proses pemilihan iaitu pemilihan jawatan-jawatan penting di dalam Umno termasuk ahli majlis kerja tertinggi atau MKT.