Sunday, 25 November 2012

LAPORAN KHAS: KETUA PEMBANGKANG @SATIMDIMAN SIFATKAN KERTAS PUTIH TALAM @KHALID_IBRAHIM KELABU ASAP



1. Dengan membentangkan Kertas Putih Talam sewaktu sidang DUN Selangor yang lepas, kerajaan negeri telah menganggap isu skandal jutaan ringgit penyalahgunaan duit rakyat Selangor telah selesai.
2. Namun setelah meneliti apa yang dibentangkan itu, saya menyimpulkan ianya hanyalah sebuah karangan politik yang diolah sedemikian rupa untuk menutup skandal yang telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak.
3. Jika benar kerajaan negeri telus dalam isu ini, mereka seharusnya membentangkan semua penyata transaksi secara terperinci. Malah maklumat yang terkandung dalam kertas putih tersebut merupakan maklumat yang telah diketahui umum, cuma berbeza kaedah pengolahannya hasil sentuhan para penasihat yang mengambil masa bertahun untuk disiapkan.
4. Dalam kertas putih tersebut, kerajaan negeri telah membuat satu kesimpulan yang mudah kononnya dengan hanya RM420 ribu, RM392 juta hutang Talam telah berjaya dikutip dan menganggap ianya satu tindakan yang bebaloi.

5. Perlu kita ingat bahawa RM392 juta yang dikutip itu sebahagian besarnya dalam bentuk aset tanah manakala RM420 ribu itu pula adalah wang rakyat dalam bentuk tunai yang telah dibelanjakan untuk proses apa yang disebut sebagai round-tripping bagi melupuskan hutang Talam mengikut peraturan kewangan standard.
6. Teknik round-tripping sememangnya satu amalan yang tidak menyalahi peraturan kewangan, namun dari segi moralnya ia bukanlah satu tindakan yang baik dalam amalan perniagaan. Kerajaan negeri dilihat cenderung menggunakan teknik sebegini sebagai satu amalan biasa dalam pengurusan kewangan negeri. Skandal kewangan terbesar di Eropah yang melibatkan syarikat gergasi Enron, berlaku disebabkan amalan ini yang akhirnya menyebabkan syarikat tersebut bankrap akibat kehilangan kepercayaan pemegang sahamnya. Namun dalam isu Talam ini, kerajaan negeri begitu yakin untuk melakukannya kerana mereka mempunyai ramai pakar pembelit untuk menutup segala penyelewengan yang dilakukan.
7. Perlu kita fahami bahawa hutang Talam berlaku sejak 10 tahun yang lalu dan dalam tempoh itu, Talam sendiri telah gagal menjual aset-aset tersebut. Dengan menyerahkan kepada kerajaan negeri, maka kerajaan negeri dibebankan untuk melakukan perkara yang perlu bagi menukarkan aset yang diterima dalam bentuk tunai bagi menyelesaikan beban hutang gadaian yang terkandung bersama-sama aset tersebut.
8. Satu perkara yang cuba dikaburkan dalam isu Talam, kerajaan negeri telah menerima aset tanah yang telah digadaikan oleh Talam yang keseluruhanya berjumlah RM266 juta. Jika dirujuk ringkasan laporan KPMG dan kertas putih Talam tentang penyelesaian hutang ini, apa yang cuba digambarkan, hutang tersebut hanya ditolak dari jumlah RM676.1 juta dari nilai aset yang diterima. Maka dengan itu kerajaan negeri hanya menerima aset bersih tanpa beban tanggungan hutang.
9. Namun begitu, ia jelas bertentangan dengan Circular to Shareholder yang dikeluarkan Talam bertarikh 15 Mac 2011 kepada Bursa Malaysia dan pemegang sahamnya. Perkara 2.4 menyatakan hutang tersebut perlu dijelaskan oleh MBI dalam masa 6 bulan dari tempoh kelulusan pemegang saham Talam. Rujuk terma dibawah:
10. Siapa yang benar dalam hal ini? Jika kertas putih itu benar maka maklumat yang diberikan Talam kepada pemegang sahamnya adalah palsu dan perlu diambil tindakan oleh Bursa Malaysia/SC. Jika sebaliknya kenapa kerajaan negeri cuba mengaburkannya?
11. Jika benar dakwaan bahawa kerajaan negeri perlu menjelaskan hutang gadaian tersebut, maka kesimpulan bahawa kerajaan hanya membelanjakan Rm420 ribu untuk mengutip hutang Talam adalah tidak benar. Sepatutnya apa yang ditulis, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM420 ribu + RM266.3 juta iaitu RM266.72 juta wang tunai milik rakyat untuk menyelesaikan hutang tersebut. Isu penyelesaian hutang ini turut dinyatakan dengan jelas dalam perkara 4.0 Circular to Shareholder  sebagaimana berikut:
12. Berdasarkan Announcement yang dibuat oleh Talam di Bursa Malaysia, jelas menunjukkan hutang gadaian tersebut sedang dibayar sedikit demi sedikit oleh Talam. Ini menimbulkan persoalan kepada kita semua, dari mana duit itu diperolehi? Jika kerajaan negeri benar-benar telus, maka ianya perlu dijelaskan kepada rakyat Selangor.
13. Isu penilaian tanah yang cuba dijawab oleh kerajaan negeri adalah isu kedua yang cuba diperbesarkan dalam kertas putih tersebut. Sudah pasti kerajaan negeri boleh melantik dan mengarahkan konsultan untuk membuat penilaian berdasarkan selera mereka selepas menerima aset tersebut.
14. Isunya kenapa semasa menandatangani perjanjian penerimaan aset-aset itu, wujud perlanggaran peraturan dengan tidak menggunapakai penilaian JPPH. Apa yang cuba dilakukan oleh kerajaan negeri ialah membuat satu tindakan cover-up dengan membuat penilaian selepas GSA kononnya tanah itu telah ditukarkan status. Ini dilakukan setelah skandal ini telah diketahui umum.
15. Jika benar ianya telah ditukar statusnya, pihak mana yang telah membayar kos penukaran tersebut? Kerajaan negeri menyatakan bahawa MBI telah membayar RM4 juta caruman perparitan untuk menyelesaikan penukaran status Tanah Bukit Beruntung. Soalnya apakah duit RM 4 juta tersebut bukan datang dari duit rakyat? Jika berdasar logik matematik mudah, kerajaan negeri telah kehilangan RM 4 juta dari RM392 juta yang kononnya dibayar oleh Talam akibat proses ini. Jika kerajaan negeri mahu penilaian keseluruhan yang dibuat itu dianggap benar, maka RM4 juta itu perlu ditolak dan ini bermaksud jumlah keseluruhan yang dikutip hanyalah RM388 juta.
16. Mungkin kerajaan negeri begitu bermurah hati memberikan diskaun berjumlah RM4 juta kepada Talam atas usaha murninya menyerahkan aset-aset yang telah digadaikan kepada institusi pinjaman itu. Maka jika kerajaan negeri begitu prihatin untuk membantu Talam, kenapa tidak kerajaan negeri juga menunjukkan keprihatinan yang sama untuk menyelesaikan hutang-hutang PKNS rakyat miskin di negeri Selangor ini. Apatah lagi kerajaan negeri sering melaungkan slogan negeri berkebajikan. Nilai RM 4 juta ini mungkin kecil pada pandangan Tan Sri Khalid Ibrahim, tetapi cukup besar bagi rakyat miskin.
17. Dalam urusan penilaian ini, kerajaan negeri gagal menjelaskan berapa kos yang dibayar kepada pihak Sulaiman & Co dan siapa yang membayar kos tersebut? Saya difahamkan bahawa ia dilantik oleh Talam, dan jika benar maka sudah pasti penilaian yang dibuat akan berpihak kepada Talam dan Kerajaan negeri. Maka atas sebab itu, kita membangkitkan tentang kenapa penilaian JPPH, sebuah agensi yang mempunyai integriti tidak digunakan? Apakah disebabkan penilaian JPPH tidak menyebelahi Talam?
18. Jika dirujuk dalam senarai aset pula, Talam turut menyerahkan 60% saham Ulu Yam Golf and Country Club yang dianggarkan berjumlah RM4.26 juta sebagai pertukaran. Mengikut laporan kewangan yang terkandung dalam Circular to Shareholder Talam, syarikat ini telah mencatatkan kerugian berdasarkan laporan kewangan berakhir 31 disember 2010. Dan dijelaskan bahawa syarikat ini tidak dapat membayar dividen kepada pemegang sahamnya.
19. Dengan kata lain, RM4.2 juta yang diterima dalam bentuk saham ini datang dengan satu bebanan kerajaan negeri untuk memulihkan syarikat ini. Bagi tujuan itu, berkemungkinan besar kerajaan negeri perlu membelanjakan sejumlah wang lagi untuk memulihkannya. Maka sekali lagi duit rakyat akan digunakan. Jika tidak dilakukan, bermakna kerajaan tidak akan dapat sebarang keuntungan dari saham yang diterima selain dari menanggung beban kos operasinya seumpama kata pepatah melayu ‘ibarat menanggung biawak hidup’.
20. Itu belum lagi disentuh tentang perkara 3.7 berkait tentang pampasan yang kononnya akan diberikan kepada UNISEL, KHSB dan PNSB. Perkara 3.7.1 menyebut UNISEL akan diberi pampasan RM248.7 juta sedangkan, ia bukanlah pampasan tetapi hutang Talam kepada UNISEL yang sepatutnya dibayar sebanyak RM248.7 juta. Kenapa pula MBI perlu mengambil alih aset tetap sedia ada UNISEL sebagai balasan? Aset mana yang cuba diambil alih oleh MBI? Apakah aset yang diserahkan oleh Talam atau tanah lain yang menjadi idaman MB untuk dijual sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau sewaktu isu PTPTN dulu timbul?
21. Berkait dengan tanah Lot 14002 yang telah dilelong dan dijual kepada individu perseorangan seperti yang dinyatakan dalam perkara 3.6.2 dalam kertas putih tersebut, merupakan sesuatu yang tidak seharusnya berlaku. Bagaimana kerajaan negeri boleh terlepas pandang dengan menerima aset yang telah dijual kepada orang perseorangan? Seolah-olah urusan perjanjian ini dibuat secara ala kadar tanpa penelitian yang rapi. Jika dalam hal sepenting ini pun Talam boleh memperbodohkan kerajaan negeri, apatah lagi yang melibatkan perkara lain. Maka kita cukup hairan bagaimana MB Selangor yang kononnya tokoh korporat terkemuka boleh ditipu oleh Talam.
22. Kesimpulannya apa yang terkandung dalam laporan kertas putih Talam ini hanyalah sekadar karangan politik yang diolah sedemikian rupa demi menutup segala penyelewengan yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri. Banyak persoalan tidak dijawab malah lebih banyak persoalan lain timbul akibat cubaan kerajaan negeri mengaburkannya pelbagai fakta atas tujuan tertentu.
23. Rakyat mungkin masih tertanya-tanya kenapa kerajaan negeri begitu beria-ia membantu Talam menyelesaikan hutang-hutangnya. Siapa sebenarnya yang sedang mengaut keuntungan dari skandal ini? Sekarang ini pula timbul dakwaan sesetengah pihak bahawa wujud pihak tertentu yang rapat dengan penasihat ekonomi negeri telah meraih keuntungan dari penyelesaian hutang Talam ini. Jawapan kepada banyak persoalan yang berbangkit ini tidak akan kita perolehi dari kertas putih Talam yang dibentangkan, kerana apa yang dibentangkan itu hanyalah kertas kelabu asap!
Satim Diman
Ketua Pembangkang DUN Selangor
Sumber: satimdiman

0 comments:

Post a Comment