Friday, 29 June 2012

iTR1M : PM SAYANGI SELANGOR YAKINI BN


PUTRAJAYA: Kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta daripada Dana Khas untuk melaksanakan program Interaktif - Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) untuk memberi tuisyen secara percuma kepada 10,000 pelajar di negeri Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, melancarkan program yang dilaksanakan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di kediamannya, Seri Perdana di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi YGMB, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Alimuddin berkata, projek perintis yang dilaksanakan di negeri Selangor akan memanfaatkan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar tetapi bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

"Program iTR1M ini akan meningkatkan prestasi akademik bagi anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran itu.

Alimuddin berkata, program yang berlangsung dari 18 Jun hingga Oktober ini dilaksanakan di 107 sekolah, iaitu 30 sekolah menengah dan 77 sekolah rendah di Selangor.

Beliau berkata, seramai 350 guru akan memberi tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jummat. 
"Matlamat Program iTR1M adalah untuk memberi bimbingan di luar waktu sekolah secara percuma kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah pelbagai kaum dan membantu mereka mengoptimumkan penggunaan 'Netbook 1Malaysia' dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan," katanya.

Alimuddin berkata, di bawah program ini, calon UPSR menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah, sekolah dan pusat komuniti (Perpustakaan Desa, Pusat Jalur Lebar Komuniti dan medan Infodesa).

Beliau berkata, bagi calon PMR dan SPM, bimbingan secara konvensional di beberapa sekolah menengah terpilih diadakan dari jam 3 hingga 5 petang, pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Selain itu, beliau berkata calon SPM yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen (Biologi, Kimia dan Fizik) akan menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah.

"Seminar dan bengkel persediaan menghadapi peperiksaan yang akan diadakan menjelang tarikh peperiksaan," katanya - BERNAM

0 comments:

Post a Comment